Tuesday, April 23, 2019

Halia fertigasi

Fertigasi Halia: Teknologi Penanaman Halia Secara Fertigasi

Fertigasi Halia
FERTIGASI HALIA: PENGENALAN
Halia (Zingiber officinale Roscoe) ialah tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan dan komersial yang tinggi dan menghasilkan rizom yang mempunyai daun berbentuk bilah serta batang yang mencecah tiga kaki tinggi. Tumbuhan ini mengeluarkan bunga seperti orkid yang berwarna kuning kehijauan yang menjadikan halia sesuai sebagai
tanaman hiasan dan biasanya ditanam di kawasan tanah tinggi 1,200 – 1,500 m dari aras laut. Di Malaysia, halia ditanam secara komersial di Bentong, Pahang, Keningau dan Tambunan, Sabah serta Sarawak. Varieti utama yang menjadi pilihan pengusaha ialah Bentong, Bara, Cina, Tanjung Sepat dan Indonesia. Tanaman ini dikatakan dapat
membantu menghadam makanan, menguatkan tenaga batin, menambah air mani dan membuang angin yang terdapat di dalam usus kecil dan usus besar. Ubatan daripada halia juga dikatakan boleh mengawal beberapa penyakit seperti demam, batuk, migrain, sakit gigi, sakit tulang, senggugut dan sesak dada.
Permintaan halia di Malaysia bagi pasaran domestik dan antarabangsa sangat tinggi terutama bagi halia Bentong yang mempunyai kualiti tinggi jika dibandingkan dengan halia daripada Indonesia, Thailand, China (Hong Kong), Taiwan dan Amerika Syarikat. Halia Bentong juga mendapat permintaan yang tinggi dari pasaran Hong Kong dan Britain. Tahap pengeluaran yang rendah mengehadkan jumlah kapasiti eskport halia disebabkan kekurangan tanah yang sesuai untuk penanaman halia dan penyakit bawaan tanah (soil borne disease) yang menjangkiti tanaman halia. Sistem fertigasi ialah satu teknik alternatif yang dapat mengatasi masalah tahap kesuburan yang rendah dan penyakit bawaan tanah. Kedua-dua masalah ini merupakan masalah utama pengeluaran halia secara komersial di seluruh dunia.
Penanaman sayuran daun dan buah dengan menggunakan teknologi fertigasi telah terbukti berkesan dan efisien. Pengeluaran hasil buah cili, melon wangi dan tomato telah meningkat 3 – 5 kali ganda berbanding dengan cara konvensional. Penanaman halia secara fertigasi di tanah rendah turut meningkatkan hasil rizom halia berbanding dengan sistem konvensional. Dengan menggunakan sistem fertigasi, halia di tanah rendah dapat ditanam secara berulang di tempat yang sama secara berterusan.
FERTIGASI HALIA: KEPERLUAN PENANAMAN
Sebelum memulakan proses menanam halia secara fertigasi, pengusaha perlu menyediakan dua infrastruktur utama iaitu struktur pelindung hujan (SPH) dan sistem pengairan fertigasi. Kedua-dua infrastruktur ini perlu disediakan terlebih dahulu sebelum proses menanam dimulakan.
Rumah Pelindung Hujan (RPH)
Pada masa kini, pelbagai jenis sayur-sayuran dan bunga-bungaan ditanam di bawah Rumah Pelindung Hujan. Rumah Pelindung Hujan dapat mengurangkan kerosakan tanaman daripada serangan penyakit akibat hujan seperti antraknos, hawar pucuk dan kerosakan akibat timpaan hujan yang lebat dan secara langsung dapat mengurangkan
penggunaan racun kulat.
Rumah Pelindung Hujan tanpa jaring kalis serangga digunakan untuk tanaman halia di tanah rendah. Struktur jenis ini dapat memberi kesan lindungan kepada tanaman, sekali gus mengurangkan cahaya yang sampai kepada tanaman serta mengurangkan lembapan udara kerana peredaran udara di bawah struktur tidak terganggu.
Rumah Pelindung Hujan yang sesuai bagi pengeluaran halia di tanah rendah terdiri daripada bumbung yang diperbuat daripada Plastik UV (lut sinar) atau diperbuat daripada jaring hitam 50 – 70%. Anggaran kos pembinaan seunit rumah pelindung hujan berdimensi 100’ x 20’ x 8’ berkerangka besi galvani ialah RM15,500. Manakala kos pembinaan rumah pelindung hujan berkerangka kayu dianggarkan kurang 40% daripada kos pelindung hujan berkerangka besi galvani.
Fertigasi Halia Rumah Pelindung Hujan RPH
Sistem Fertigasi Halia
  • Komponen utama sistem pengairan fertigasi halia ialah tangki air baja 900 atau 600 gelen, tong stok baja, pam air berkuasa 2 hp, pengatur masa digital, penapis, injap dan sistem paip yang membawa larutan nutrien ke setiap beg tanaman. Sistem paip terbahagi kepada paip utama (polipipe HDPE) 32 mm, paip sekunder (polipipe HDPE) 32 mm, paip pembahagi (polipipe LDPE) 16 mm atau 20 mm dan tiub mikro 1.0 mm berserta penitis panah. Pengusaha juga perlu mendapatkan alat pengukur konduktiviti elektrik (EC) untuk menentukan kepekatan baja dan pH meter untuk mengukur nilai pH air.
  • Bagi penanaman fertigasi halia, polibeg tegak boleh digunakan. Polibeg berwarna hitam bersaiz 24’’ x 16’’ adalah disyorkan. Medium tanaman yang disyorkan bagi halia ialah 100% coco peat. Kajian MARDI telah menunjukkan penggunaan polibeg hitam sesuai bagi tanaman halia dan dapat meningkatkan hasil rizom bagi setiap meter persegi.
  • Pemberian air baja boleh dikawal secara manual atau menggunakan pengatur masa automatik. Sistem fertigasi halia perlu dipasang sebelum halia ditanam ke dalam polibeg. Jarak di antara polibeg yang disyorkan ialah 1’, manakala jarak di antara barisan tanaman ialah 5’.
Lakaran sistem pengairan fertigasi haliaLakaran sistem pengairan fertigasi halia
Susunan paip pembahagi penyambung tiub mikro dan penitis secara terperinciSusunan paip pembahagi, penyambung, tiub mikro dan penitis secara terperinci bagi fertigasi halia
FERTIGASI HALIA: KAEDAH PENANAMAN
Terdapat lapan langkah dalam penanaman fertigasi halia  yang melibatkan persediaan sebelum tanam dan pengurusan selepas tanam. Lapan langkah tersebut adalah seperti yang berikut:
  1. Memilih varieti halia.
  2. Menyediakan benih halia.
  3. Memilih medium dan menyediakan polibeg.
  4. Memindahkan anak pokok halia.
  5. Membuat larutan stok baja.
  6. Menguruskan tanaman.
  7. Kawalan penyakit dan serangga perosak.
  8. Menuai.
Memilih Varieti Halia
Pemilihan varieti halia yang sesuai adalah penting untuk memastikan hasil yang tinggi. Selain itu, dengan mengenal pasti jenis halia yang digunakan oleh masyarakat sekitar  akan memudahkan proses pemasaran hasil. Pada masa kini, terdapat lima varieti utama yang menjadi pilihan pengusaha untuk dikomersialkan di Malaysia iaitu halia Tanjung Sepat, Cina, Indonesia, Bara dan Bentong. Ciri-ciri halia yang baik adalah seperti yang berikut:
  • Rizom besar.
  • Rizom berwarna pucat kekuningan.
  • Isi rizom berwarna kuning cair.
  • Mempunyai serat yang rendah.
  • Tahap kepedasan yang tinggi.
Menyediakan Benih Halia
  • Benih halia dihasilkan daripada rizom halia matang yang berusia 9 – 10 bulan. Halia matang yang dipilih dilerai dan dipotong 7 – 11 cm panjang dengan memastikan 2 – 3 mata tunas pada setiap potongan supaya benih cepat bercambah.
  • Rizom benih kemudiannya dirawat dengan cara merendamkan ke dalam racun kulat seperti previcur N selama 3 – 5 minit sebelum disemai. Rizom benih halia boleh ditanam dengan dua cara iaitu disemai di dalam bekas semaian atau disemai terus ke dalam polibeg.
  • Bekas semaian (5 m x 1 m) diisi dengan coco peat dan benih disemai pada jarak setengah kaki di antara satu sama lain. Selepas 21 hari, anak benih halia yang disemai boleh dipindahkan ke dalam polibeg.
Rizom benih halia
Memilih Medium dan Menyediakan Polibeg
  • Medium tanaman yang disyorkan ialah 100% coco peat kerana mudah diperoleh, murah dan lebih mesra alam. Coco peat dimasukkan ke dalam polibeg hitam berukuran 24’’ lebar x 16’’ tinggi tanpa lubang. Sebanyak 3 – 4 lubang lebihan air dibuat 2’’ dari dasar polibeg di bahagian tepi kiri dan kanan.
  • Coco peat dibasah dan ditoskan terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam polibeg untuk mengelak masalah hidung atau mata berair. Polibeg disusun rapat kiri dan kanan paip pembahagi. Setiap polibeg dilengkapi dengan tiub mikro 1.0 mm (garis pusat) yang menyalurkan nutrien dari tangki larutan baja.
Medium tanaman coco-peat
Gambar: Animagrotech
Memindahkan Anak Pokok Halia
  • Sebelum menanam, medium tanaman di dalam polibeg dibilas dengan mengalirkan air bersih menggunakan sistem pengairan fertigasi halia yang telah disediakan selama 2 jam setiap hari sehingga air jernih keluar daripada beg tanaman melalui lubang lebihan air yang mungkin mengambil masa 3 – 4 hari.
  • Anak benih halia daripada bekas semaian yang sudah berakar (21 hari disemai), dialih ke dalam setiap polibeg. Selepas proses memindahkan anak pokok halia selesai, pengairan tanpa baja diberi dua kali sehari, selama 4 minit setiap kali selama 2 hari. Larutan baja akan disalurkan kepada beg tanaman mulai hari ketiga selepas menanam.
Anak benih halia
Membuat Larutan Stok Baja
  • Tumbuh-tumbuhan memerlukan 16 unsur nutrien untuk pertumbuhan yang sempurna. Ia dibahagi kepada 2 unsur iaitu unsur makro dan mikro. Unsur makro iaitu unsur yang diperlukan dengan kuantiti unsur mikro iaitu unsur yang diperlukan dalam kuantiti yang sedikit.
  • Unsur makro termasuklah nitrogen (N), fosforus (F), kalium (K), kalsium (Ca), sulfur (S) dan magnesium (Mg). Unsur mikro pula adalah seperti besi (Fe), mangan (Mn), boron (B), zink (Zn), tembaga (Cu), natrium (Na), ammonium (NH4) dan molibdenum (Mo).
  • Kepekatan unsur ini dalam tumbuhan berbeza antara satu dengan yang lain. Unsur mikro sangat kecil kuantitinya, tetapi diperlukan dan sangat penting bagi pertumbuhan dan kesuburan tanaman. Manakala unsur lain seperti oksigen, hidrogen dan karbon diperoleh daripada udara.
  • Unsur dalam sebatian ini akan diadunkan mengikut formulasi yang ditetapkan dan dilarutkan di dalam air menjadi larutan stok baja sebelum dibancuh ke dalam air. Ia kemudiannya diagihkan ke setiap pokok dengan seragam. Formulasi baja berbeza mengikut jenis tanaman.
  • Rumusan baja fertigasi halia terbahagi kepada dua bahagian iaitu stok A dan stok B. Kaedah membuat larutan stok baja adalah seperti dalam Lampiran 1. Larutan stok baja disediakan dengan kepekatan 100 kali ganda daripada yang diperlukan oleh pokok, tetapi boleh juga disediakan dalam kepekatan 200 kali ganda untuk mengurangkan ruang menyimpan tangki larutan stok.
  • Kalsium nitrat disediakan secara berasingan daripada sebatian yang mengandungi fosfat dan sulfat untuk mengelak berlakunya tindak balas kimia dan terjadinya pemendakan. Biasanya kalsium nitrat dan zat ferum disatukan dan disediakan berasingan daripada 9 sebatian lain.
  • Larutan stok yang mengandungi CN dan zat ferum dilabelkan sebagai larutan stok A. Manakala larutan stok B mengandungi sebatian-sebatian lain seperti kalium nitrat, monokalium fosfat, magnesium sulfat, mangan sulfat, kuprum sulfat, zink sulfat, asid borik, ammonium molibdat atau natrium molibdat.
  • Sebatian stok A dan B ditimbang berasingan dan dilarutkan di dalam air yang bersih satu persatu. Larutan stok (pati baja) disyorkan supaya sentiasa tersedia dan dicairkan di dalam tangki larutan apabila diperlukan. Semasa membuat larutan baja, keduadua larutan stok tidak boleh dicampurkan serentak ke dalam tangki air. Larutan stok hendaklah dituang satu persatu bagi mengelak berlakunya tindak balas kimia yang mewujudkan sebatian lain yang tidak larut.
Pengurusan Tanaman Fertigasi Halia
  • Pemberian larutan baja dilakukan mengikut masa yang ditetapkan dengan bantuan pengatur masa. Tanaman halia memerlukan larutan nutrien dengan kepekatan yang tertentu di beberapa peringkat pembesaran. Kepekatan larutan nutrien diukur menggunakan meter konduktiviti elektrik (EC). Penentuan EC mesti dilakukan setiap kali bancuhan dibuat atau apabila pertukaran EC diperlukan dan sekurang-kurangnya sekali seminggu. Unit ukuran konduktiviti elektrik ialah μS.
  • Tahap kepekatan yang diperlukan bagi kebanyakan tumbuhan adalah antara EC 1.5 – 4.0. Bagi pokok halia, EC yang disyorkan adalah antara 1.8 – 2.4. Pada umur pokok yang baru dipindahkan ke dalam polibeg, EC yang diberi ialah 1.8. Ia kemudiannya dinaikkan kepada 2.4 selepas minggu ketiga sehingga tamat musim penanaman.
  • Kejadian penimbunan sisa garam galian di dalam medium tanaman sering terjadi di kawasan tanah rendah tropika. Selepas 30 hari, medium tanaman di dalam polibeg perlu dibilas dengan air bersih yang dilakukan setiap 15 hari bagi melarut dan seterusnya menyahkan timbunan garam yang boleh menyebabkan toksik kepada tanaman. Proses pembilasan dilakukan dengan menghidupkan pam selama 1 jam tanpa henti dan membenarkan air bersih sahaja mengalir ke setiap pokok.
  • Satu lagi faktor yang penting dalam pengeluaran tanaman adalah aras keasidan larutan nutrien yang dinamakan pH iaitu pengukuran asid atau alkali sesuatu larutan. Larutan itu berasid jika pHnya kurang daripada 7, neutral pada nilai 7 dan alkali jika nilai bacaannya lebih daripada 7. Bagi tanaman fertigasi halia, pH yang disyorkan adalah antara 5.5 – 6.5. Nilai pH dapat ditentukan dengan meter pH atau menggunakan kertas litmus.
  • Pengairan baja hendaklah dilakukan setiap hari dengan kekerapan 4 – 6 kali sehari, bergantung pada keadaan cuaca dan peringkat umur pokok. Pada hari yang panas pembajaan fertigasi halia dilakukan 4 – 6 kali sehari. Pada hari hujan atau mendung dan lembap pembajaan dilakukan 1 – 2 kali sehari.
  • Pokok yang baru ditanam tidak memerlukan banyak baja berbanding dengan pokok yang telah mengeluarkan rizom. Jangka masa penitisan ini dilakukan bergantung pada saiz paip dan tekanan air (pam) iaitu 3 – 5 minit. Biasanya pam dimatikan apabila kelihatan tanda-tanda lembap pada medium tanaman dan lebihan air mula keluar daripada lubang lebihan air. Secara umumnya, tanaman memerlukan 1 – 1.5 liter air sehari.
  • Pada peringkat awal iaitu selepas dipindahkan ke dalam polibeg, kuantiti larutan baja yang diperlukan adalah antara 200 – 300 ml sehari. Selepas minggu ketiga dipindahkan ke dalam polibeg, keperluan larutan baja bertambah kepada 500 – 800 ml sehari.
  • Pokok perlu diperiksa setiap hari untuk mengesan penitis yang tersumbat bagi mengelak pokok layu kerana tidak mendapat larutan baja. Pemeriksaan yang cekap boleh dilakukan antara jam 9.00 –10.00 pagi. Biasanya pokok halia akan layu bermula daripada daun. Apabila ini terjadi, cabut penitis daripada tiub mikro dan bersihkan. Penggunaan penapis lazimnya boleh mengurangkan masalah ini. Walau bagaimanapun, penapis perlu sentiasa dibersihkan dari semasa ke semasa supaya dapat berfungsi dengan baik.
pengurusan halia secara fertigasi
Mengawal Penyakit dan Serangga Perosak
  • Penanaman fertigasi halia di bawah struktur pelindung hujan menghadapi beberapa masalah serangga perosak dan penyakit. Faktor seperti kebersihan persekitaran ladang, kebersihan sistem pengairan fertigasi halia dan amalan kultur oleh pengusaha dan pekerja ladang memainkan peranan penting dalam mencegah sebarang serangan serangga perosak dan penyakit.
  • Serangan serangga perosak dan penyakit utama tanaman halia boleh dikawal dengan cara amalan kultur yang betul atau menggunakan racun perosak atau kedua-duanya sekali. Penyemburan racun perosak hanya digunakan apabila perlu sahaja dan semua tatasusila penggunaan racun kimia mesti betul dan dipatuhi.
Jadual Pengurusan Serangga dan Penyakit
Jadual pengurusan serangga dan penyakit fertigasi halia
Tanaman halia fertigasi diserang ulat pengorek
Cara mengawal serangga perosak dan penyakit masing-masing adalah dengan semburan racun serangga dan melaksanakan amalan kultur yang baik iaitu membersihkan kawasan ladang daripada sisa-sisa tanaman seperti daun yang berpenyakit.
Menuai Hasil
  • Halia boleh dituai sebagai halia muda atau halia tua/matang. Halia boleh dipungut sebagai halia muda selepas 4 – 6 bulan selepas dipindahkan ke dalam polibeg. Manakala halia tua atau matang boleh dituai dalam tempoh 9 bulan selepas dipindahkan ke dalam polibeg.
  • Antara tanda-tanda halia sudah matang atau tua adalah berlakunya nekrosis di bahagian hujung daun dan daun halia mulai kering pada usia 7 – 8 bulan. Secara purata setiap rumpun halia di dalam polibeg akan menghasilkan 2.4 sekilo halia muda manakala bagi halia tua, rizomnya mampu mencecah 5.4 sekilo.
  • Penggredan dilakukan berdasarkan saiz rizom, timbangan berat dan rasa kepedasan rizom halia. Pengendalian lepas tuai yang teratur bagi halia amat penting untuk mengawal kerosakan dan kemerosotan mutu kualiti rizom. Mutu dan harga pasaran halia boleh menurun akibat jangkitan kulat, kehilangan air (kecut dan berkedut-kedut) dan juga percambahan tunas.
  • Polibeg halia dialihkan ke bangsal atau tempat yang redup pada awal pagi ataupun petang. Halia akan dikeluarkan daripada polibeg dan dicuci dalam keadaan persekitaran yang redup bagi mengelak kehilangan kandungan air yang boleh
    menyebabkan halia menjadi kecut.
  • Kesan pancaran matahari juga boleh menyebabkan penghijauan yang akan menjejaskan mutu halia. Rumpun halia akan dipotong dan diasingkan daripada beg tanaman. Halia dan medium tanaman akan dikeluarkan daripada beg tanaman.
  • Seterusnya, rizom akan diasingkan daripada medium tanaman dengan menggunakan semburan air separa kuat supaya tidak menjejaskan rupa dan bentuk halia. Halia yang telah dibasuh dimasukkan ke dalam bakul plastik. Bahan pengalas seperti kertas atau span perlu bagi mengelak geseran antara bakul dan rizom halia. Kutipan harus dibawa dengan secepat mungkin ke tempat pengumpulan atau rumah pembungkusan bagi operasi penyediaan yang seterusnya.
Halia Muda Halia Tua
Simptom nekrosis daun halia
FERTIGASI HALIA: ANALISIS EKONOMI
Analisis ekonomi ini mengambil kira kesemua kos yang terlibat serta pulangan (hasil) yang diramalkan daripada projek ini.
Kos Pembangunan
Projek ini melibatkan kos pembangunan (kos permulaan) yang tinggi terutama untuk pembinaan struktur pelindung hujan dan sistem pengairan fertigasi halia. Bagi satu hektar tanah, sebanyak 30 unit struktur pelindung hujan tanpa jaring kalis serangga sesuai dibangunkan yang melibatkan kos sebanyak RM355,400.
Jadual Anggaran Kos Pembangunan Fertigasi Halia
Kos Pembangunan Fertigasi Halia
Kos Operasi dan Penyelenggaraan Fertigasi Halia
Kos operasi dan penyelenggaraan meliputi upah/gaji serta kos untuk kerja membaik pulih infrastruktur. Kos penyelenggaraan merangkumi 5% daripada jumlah kos pembangunan.
Kos Pengeluaran Fertigasi Halia
Kos pengeluaran merangkumi kos input (baja fertigasi, benih, racun dan lain-lain. Anggaran kos pengeluaran bagi halia muda dan tua adalah seperti dalam jadual berikut:
Jadual anggaran kos pengeluaran
Kos Pengeluaran Fertigasi Halia
Hasil dan Pulangan Fertigasi Halia
Jumlah hasil yang diperoleh dianggarkan daripada bilangan [satu SPH x hasil sepokok x bilangan musim setahun x jumlah SPH (30 unit sehektar)]. Anggaran harga purata ini diambil daripada harga purata jualan di ladang bagi tempoh 3 tahun (2011 – 2013).
Halia Muda
Anggaran hasil = 2.4 kg/pokok/musim
Bilangan musim/tahun = 3 kali
Bilangan pokok/SPH = 500
Jumlah hasil = 108,000 kg
Harga ladang = RM3
Jumlah pendapatan/tahun = RM324,000
Halia Tua
Anggaran hasil = 5.4 kg/pokok/musim
Bilangan musim/tahun = 1 kali
Bilangan pokok/SPH = 500
Jumlah hasil = 81,000 kg
Harga ladang = RM3.60
Jumlah pendapatan/tahun = RM291,600
Analisis Kedayamajuan Projek Fertigasi Halia
Kedayamajuan projek ini diukur dengan menggunakan tiga petunjuk seperti yang berikut:
  • Nilai kini bersih
  • Kadar pulangan dalaman
  • Jangka masa pulang balik modal
Jadual kedayamajuan projek penanaman halia
Projek Penanaman Fertigasi Halia
Berdasarkan analisis di atas, projek ini boleh dijalankan bagi pengeluaran halia muda dan tua yang berupaya memberi pulangan yang baik kepada pelabur yang ingin menceburi bidang ini.
GERAK KERJA PENANAMAN HALIA SECARA FERTIGASI
Gerak Kerja Fertigasi Halia 1Gerak Kerja Fertigasi Halia 2Gerak Kerja Fertigasi Halia 3Gerak Kerja Fertigasi Halia 4Gerak Kerja Fertigasi Halia 5Gerak Kerja Fertigasi Halia 6
Lampiran 1: Kaedah Membuat 100 liter Larutan Stok Baja Fertigasi Halia
Kaedah membuat 100 liter larutan stok baja
Apabila hendak digunakan ambil larutan dari TONG A dan tuangkan ke dalam tangki larutan baja dan kacau hingga semuanya terlarut.
Kemudian ambil larutan dari TONG B dalam jumlah isi padu yang sama dan tuangkan ke dalam tangki larutan baja dan kacau hingga semuanya terlarut.
SEBAGAI PANDUAN 1 BAHAGIAN LARUTAN BAJA UNTUK 100 BAHAGIAN AIR
JANGAN SEKALI-KALI MENCAMPURKAN KEDUA-DUANYA SERENTAK
Sumber: Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI)

No comments:

Post a Comment